Monday, January 10, 2011

MEMORENDUM BANTAHAN PERLANTIKAN PENGERUSI PKR PERAK!!!

TARIKH: 6 JANUARI 2011

Yang Berbahagia
Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden
Parti Keadilan Rakyat

Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat
A-1-09, Merchant Square
No. 1, Jalan Tropicana Selatan 1
47410 Petaling Jaya



PREMIS


1. "Hai orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu..."

2. "Katakanlah: "lnilah jalan (agama)ku, aku dan orang-orang yang mengikutikau mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata "

3. Makna kepada kehidupan manusia adalah mereka yang benar-benar hidup menghayati peraturan, undang-undang dan nilai-nilai hidup yang luhur yang ditetapkan Allah. Tanpa berperaturan manusia akan terus meraba-raba dalam kegelapan/kesamaran untuk mencari kebenaran yang hakiki.

4. Kejayaan Rasulullah s.a.w adalah ketika mana Baginda Menjadikan Islam Sebagai Peraturan Yang Sempurna Yang Mentadbir Hidup Manusia – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dan menentukan nilai-nilai manusia dan benda. Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas syariat itu suatu sistem atau peraturan.

5. Sebagai sebuah parti politik yang berjuang membentuk sebuah masyarakat yang adil dan negara yang demokratik dan progresif sudah pasti menghayati suatu sistem atau peraturan sebagai asas perjuangan. Sistem atau peraturan dalam parti berasaskan kepada perlembagaan parti yang dipersetujui bersama dalam Kongres Khas menerima perlembagaan baru dengan semangat muafakat pimpinan dan anggota parti

6. Para pimpinan dan anggota parti dituntut untuk mewujudkan budaya dan prinsip demokrasi yang didasarkan pada konsep (rule of law), antara lain menyatakan “ Tidak adanya kekuasaan yang sewenang-wenang “.

7. Dalam konteks pemilihan pengerusi MPN, fasal 16.6 dalam perlembagaan parti diguna pakai sebagai asas mewujudkan budaya Rule of Law dengan semangat berperaturan. Justeru kehadiran Dr Mansor Osman Naib Presiden , diarah oleh Biro Politik bertemu 24 Ketua-ketua Cabang di Perak pada 16 Disember 2010 adalah bagi melaksanakan fasal 16.6 melalui pendekatan undian. Proses ini berjaya dilakukan dengan baik dan meyakinkan.

8. Hasil daripada proses ini, Dr Mansor Osman mengumumkan bahawa 2 orang calon untuk Pengerusi MPN dicapai seperti berikut :-

Sdr Mustaffa Kamil Ayub mendapat undian 13 undi
Dr Muhammad Nur Manuty mendapat undian 10 undi
Sementara seorang Ketua Cabang berkecuali

9. Adalah menjadi tandatanya kenapa kehadiran Puan Fuziah Salleh, Naib Presiden pada 23 Disember 2010 yang diarah oleh Ketua Umum dan Presiden untuk bertemu 5 orang pimpinan kanan cabang dengan misi mendapat konsensus bagi perlantikan Pengerusi MPN. Ini bertentangan dengan fasal 16.6 yang termaktub dalam perlembagaan. Bukan itu sahaja, situasi dan kondisi ini menimbulkan keraguan dan konflik pada pimpinan cabang dalam konteks mewujudkan budaya Rule of Law dalam parti.

10. Dalam saat parti yang sedang tercemar imejnya, berikutan manipulasi dalam pemilihan MPP, hubungan sesama ahli-ahli yang masih belum dipulihkan, tiada indikator yang serius untuk menyelesaikan bantahan yang dikemukakan oleh cabang-cabang yang terlibat. Kini timbul satu lagi keadaan yang memualkan khususnya di Perak yang mengundang bencana kepada parti dalam menghadapi PRU13 yang sangat hampir.

11. Sesungguhnya kami :-

1. Md Nasib Rahin, Ketua Cabang Bagan Serai,
2. Mohd Yunus Hashim, Ketua Cabang Lenggong,
3. Tun Ali Tun Hamzah, Ketua Cabang Kuala Kangsar,
4. Mohamad Aun Yob Abas, Ketua Cabang Sungai Siput,
5. Zulkifly Ibrahim, Ketua Cabang Tambun,
6. M.A. Tinagaran , Ketua Cabang Ipoh Barat,
7. Kapt ( B ) Usaili Alias, Ketua Cabang Parit,
8. Vijayanathan , Ketua Cabang Beruas,
9. MP Shanmugam, Ketua Cabang Lumut,
10. Ridzuan Bani, Ketua Cabang Tapah,
11. Mohamad Hashim, Ketua Cabang Teluk Intan,
12. Mejar (B) Kamal Badri, Ketua Cabang Tanjung Malim,
13. Alias Zenon, Ketua Cabang Padang Rengas, dan
14. Madhi Hj Hasan, Ketua Cabang Bagan Datok

merayu serta meminta Y. Bhg Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat mempertimbangkan butiran berikut:-

a. Menghormati fasal 16.6 dalam perlembagaan parti;
b. Melaksanakan keputusan undian yang dinyatakan dalam perenggan no. 8 dalam Memorandum ini.

12. Bersama-sama Memorandum ini dilampirkan tulisan bertajuk Pendapat Perundangan Mengenai Perlantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak untuk perhatian Dato’ Seri agar keputusan yang tepat dapat diambil.

PENDAPAT PERUNDANGAN MENGENAI PERLANTIKAN PENGERUSI MAJLIS PIMPINAN NEGERI PERAK


1. Jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (PMPN) adalah salah satu daripada jawatan lantikan Presiden yang dinyatakan dalam Fasal 16.5 Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat.

2. Fasal 16.6 pula adalah fasal baru yang dimasukkan setelah pindaan Perlembagaan Parti pada tahun 2009 yang memberi hak perundingan (consultative right) kepada Ketua-ketua Cabang dalam negeri berkenaan dalam hal perlantikan PMPN.

3. Fasal 16.6 berbunyi:

“Pengerusi Majlis Pimpinan setiap Negeri dan Wilayah Persekutuan hendaklah dilantik oleh Presiden setelah berunding dengan Ketua-ketua Cabang di Negeri-negeri berkaitan dan Wilayah Persekutuan. Perundingan tersebut perlu dibuat di dalam suatu mesyuarat setelah notis diberi kepada semua Ketua Cabang Dalam Negeri berkaitan dan Wilayah Persekutuan.”

4. Empat elemen penting dalam fasal tersebut adalah:

(i) Kewajipan mengadakan perundingan
(ii) Hak eksklusif ketua-ketua cabang untuk dirundingi
(iii) Keperluan memanggil suatu mesyuarat dengan ketua-ketua cabang
(iv) Notis kepada ketua-ketua cabang

5. Secara ringkas, fasal 16.6 menekankan tentang ‘perundingan dengan ketua-ketua cabang’ walaupun tidak memperincikan bagaimana proses perundingan dan pembuatan keputusan itu dilakukan. Oleh itu, kaedah mengendalikan perundingan itu adalah bergantung kepada budi bicara Presiden.

6. Fasal 16.6 juga memberikan peruntukan khusus tentang siapa yang perlu dirundingi (iaitu ketua-ketua cabang sahaja), keperluan mengadakan satu sidang mesyuarat khas Presiden dengan ketua-ketua cabang dan pemberian notis secukupnya untuk memelihara hak ketua-ketua cabang untuk hadir dan terlibat dalam menjalankan agenda tersebut.

7. Tujuan Perlembagaan Parti memberikan hak perundingan kepada ketua-ketua cabang adalah kerana dalam struktur organisasi KEADILAN, entiti yang berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan adalah parti induk dan cabang-cabang sahaja.

8. MPN tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan, maka kewujudannya adalah atas legitimasi yang diperolehi daripada cabang-cabang yang berdaftar. Fungsi asal MPN pada asasnya hanyalah sebagai badan penyelaras bagi cabang-cabang dalam negeri berkenaan.

9. Fasal 16.6 tidak pula menyebut perkataan “konsensus”. Namun, tidak dinafikan dalam apa-apa organisasi pun, tanggungjawab pemimpin atau pengerusi mesyuarat sememangnya adalah seboleh-bolehnya untuk membentuk dan mendapat konsensus.

10. Dalam konteks fasal 16.6, satu-satunya konsensus yang perlu didapatkan oleh Presiden adalah konsensus ketua-ketua cabang dalam satu mesyuarat yang khas dan bernotis.

11. Sepertimana yang dinyatakan sebelum ini, kaedah penjalanan proses perundingan dengan ketua-ketua cabang dan pembuatan keputusan adalah terbuka kepada budi bicara dan kebijaksanaan Presiden. Sekiranya mesyuarat itu gagal mendapat suatu keputusan yang disepakati semua ketua cabang, maka Presiden boleh memanggil satu undian dari ketua-ketua cabang.

12. Konvensyen yang diterima dalam amalan ‘representative democracy’ (demokrasi perwakilan) adalah apabila Pengerusi atau Presiden membuat keputusan agar sesuatu keputusan itu diputuskan melalui pengundian maka keputusan pengundian oleh perwakilan-perwakilan itu mestilah dihormati. Dalam konteks MPN, ketua cabang mempunyai peranan perwakilan sebagai ahli Parlimen atau ADUN iaitu mereka telah dipilih oleh majoriti ahli-ahli dalam konstituensi iaitu cabang masing-masing. Oleh itu, melalui konsep “majority shall rule” maka suara majoriti dalam undian perwakilan-perwakilan mestilah diterima.

13. Sebarang penyimpangan dari konsep ini amatlah tidak wajar. Pemahaman mengenainya telah terbentuk sejak di bangku sekolah rendah lagi apabila guru kelas membuka undian untuk memilih ketua kelas. Apabila undian dibuka, maka guru kelas telah mengenepikan kuasanya untuk membuat lantikan terus. Guru kelas mesti menghormati keputusan majoriti anak-anak murid, jika tidak maka proses itu adalah satu ‘mockery’.

14. Hak eksklusif ketua-ketua cabang dalam perihal MPN bukan sahaja dinyatakan di dalam fasal 16.6. Dalam fasal 22.6 dan 22.7, dinyatakan bahawa mana-mana ahli MPP, ahli Parlimen dan ADUN yang menghadiri mesyuarat MPN tidak boleh mengundi. Dalam kes pemilihan PMPN, ahli-ahli MPN pada masa tersebut hanyalah ketua-ketua cabang kerana jawatan-jawatan lantikan belum diisi. Oleh itu, hanya ketua-ketua cabang boleh mengundi dalam hal ehwal pemilihan PMPN.

15. Penglibatan atau undian daripada pihak-pihak lain seperti ketua-ketua AMK Cabang, ketua-ketua Wanita cabang, Ahli Parlimen atau ADUN adalah tidak wajar dan tidak sah. Wilayah dan batasan kuasa antara MPN, Majlis Pimpinan AMK Negeri dan Majlis Pimpinan Wanita Negeri adalah jelas. Sebarang masalah yang ingin disampaikan oleh ketua-ketua Wanita atau ketua-ketua AMK cabang boleh dibawa oleh Ketua AMK Negeri dan Ketua Wanita Negeri dalam mesyuarat MPN kelak.

16. Dalam kes rampasan kuasa Negeri Perak tahun 2009, isu yang utama ialah tiadanya usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar dalam sidang DUN yang sah. Walaupun isu itu nampaknya bersifat prosedural, tetapi ia membawa kepada satu krisis perlembagaan kerana berlaku penafian kepada peranan institusi DUN dan hak wakil-wakil rakyat di bawah konsep ‘representative democracy’.

17. Dalam kes MPN, institusi cabang dan hak eksklusif ketua cabang dalam undian dan perundingan tidak boleh dinafikan. Ini kerana ketua-ketua cabanglah yang secara automatik akan menganggotai, menyumbang dan bertanggungjawab kepada MPN, bukannya pihak-pihak lain. Sekiranya pertanggungjawaban daripada mereka diperlukan, maka hak mereka sebagai perwakilan mestilah dihormati. Ini berdasarkan kepada kaedah “no taxation without representation”.

18. Perlembagaan Parti tidak menetapkan pemilihan PMPN melalui undi popular secara terus. Pendekatan ini ada hikmahnya kerana MPN itu sendiri pada asasnya adalah badan penyelaras. Dalam tradisi Islam, syura oleh ‘ahlul halli wal aqdi’ ternyata berkesan kerana tidak semua isu-isu dalaman dan sulit boleh dihadam dan dibincangkan oleh semua orang. Mereka yang tidak mempunyai kelayakan untuk ikut serta dalam memutuskan satu perkara yang sulit dengan mudah boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang berkepentingan.

19. Dalam pengalaman demokrasi moden, parti-parti seperti Parti Konservatif di Britain memberikan hak eksklusif memilih “the Leader of the Conservative Party” kepada kelompok Ahli-ahli Parlimen mereka sahaja. Perkara yang sama juga diamalkan dalam Parti Buruh Britain sehingga tahun 1983. Di negara barat sendiri, pendekatan pemilihan pemimpin utama yang hanya melibatkan kelompok terpilih masih diamalkan dalam kebanyakan parti-parti politik.

KES PENGERUSI MPN PERAK


20. Dalam kes pemilihan MPN Perak, Presiden telah menurunkan kuasanya kepada Naib Presiden untuk memenuhi kehendak Fasal 16.6. Dalam mesyuarat pertama, Naib Presiden Dato’ Mansor Othman telah menjalankan mesyuarat. Kehadiran dalam mesyuarat tersebut boleh dipertikaikan kerana ianya turut dihadiri oleh mereka yang bukan ketua cabang termasuk bekas pegawai parti, bekas ahli MPN lantikan, bekas Ketua Wanita Negeri dan lain-lain. Satu salinan memorandum yang ditandatangani oleh 16 Ketua Cabang yang menyokong Sdr Mustaffa Kamil Ayub telah disampaikan. Di samping itu, ada cadangan juga untuk Dr Mohd Nur Manuty dan Dr Lee Boon Chye dilantik. Naib Presiden akan membawa cadangan-cadangan tersebut kepada Presiden.

21. Presiden memutuskan untuk menyerahkan mandat untuk memutuskan keputusan dengan secara undian. Mesyuarat kedua diatur oleh Dato’ Mansor dengan notis secukupnya kepada ketua-ketua cabang sahaja. Daripada 24 ketua cabang, Sdr Mustaffa Kamil mendapat 13 undi, Dr Mohd Nur 10 undi dan satu undi berkecuali. Dr Lee Boon Chye telah menarik diri sebelum pengundian. Ketua-ketua cabang mengundi dengan keyakinan bahawa mereka telah menjalankan hak demokratik yang mereka miliki dan keputusan melalui suara majoriti adalah penentu yang muktamad.

22. Tanpa diduga, mesyuarat ketiga dipanggil oleh Naib Presiden yang lain iaitu Puan Fuziah Salleh yang melibatkan 5 orang dari setiap cabang untuk membincangkan perkara yang disangkakan sudah muktamad. Tindakan ini adalah bercanggah dengan Fasal 16.6 kerana ia menafikan “consultative and representative rights” yang dimiliki oleh ketua-ketua cabang yang dipilih oleh ahli-ahli. Perkataan “konsensus” telah dijadikan alasan untuk mengikut sertakan pihak-pihak yang bukan ketua cabang dalam proses pemilihan PMPN. Pemulangan semula mandat penuh kepada Presiden sepertimana yang kononnya diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah tidak sah. Hanya ketua-ketua cabang melalui persetujuan majoriti di kalangan mereka boleh memulangkan mandat tersebut dan membatalkan keputusan undian dalam mesyuarat yang lalu.

23. Kesimpulannya, perlantikan mana-mana pihak selain daripada yang diputuskan oleh suara majoriti ketua-ketua cabang adalah bercanggah dengan Perlembagaan Parti, konvensyen yang diamalkan dalam tatacara mesyuarat parti-parti siasah dan prinsip demokrasi yang adil dan bebas. Ini kerana Presiden telah memberi hak mengundi kepada ketua-ketua cabang sebagai kaedah pemutus dalam satu sidang yang sah dan teratur. Oleh itu, keputusan tersebut mestilah dilaksanakan bagi mengelakkan pertikaian dan keraguan terhadap integriti parti dan pimpinannya.

Tarikh: 6 Januari 2011

1 comment:

Laksamana Bentan said...

Salam Tuan,
Blog Tuan sudah saya link.
Teruskan perjuangan.